~~~~~~~~~~~~

|| Bicara Hati ||

Sesungguhnya aku bukanlah segigih SITI HAWA yang berlari-lari diantara safa dan marwa....
Bukan juga sesetia AINUL MARDHIAH menanti kekasih dipintu syurga....
Aku akui hakikat yang tersurat...
Aku bukanlah SITI KHADIJAH mahupun SITI FATIMAH..
Bukan juga AI'SYAH...Bukan juga RABI'TUL ADAWIYYAH wanita suci terpuji....
Kerana aku tidak layak mengharap semidikian rupa....
Cukupla sekadar hanya aku cuba mencontohi BUNGA-BUNGA itu yang kembang mekar mewangi sehingga harumannya melewati pintu-pintu syurga...

Saturday, December 26, 2009

Adakah anda mengerti??

Wahai sahabat-sahabatku, jom kita selidiki serta fahami sebelum kita hendak memahamkan orang lain..

Di dalam kehidupan ini, kita suka diberi. Disuap adalah kebiasaan manusia. Tidak ramai manusia menggerakkan diri mereka untuk menyuap dan memberi. Sebab itu, lebih ramai manusia tidak mahu berusaha, tetapi hanya menunggu rezeki datang bergolek kepada diri mereka.

Begitu juga dalam persahabatan. Kita biasanya suka menerima. Atau, kita suka apa yang kita beri itu, dibalas semula. Jika tiada timbal balik, maka kita tidak akan bersemangat meneruskannya. Ramai orang menghadapi situasi ini. Akhirnya mereka akan tertanya-tanya”

“Saya dah buat baik pada kawan saya, tetapi dia buat macam tak tahu saja kehadiran saya”

“Saya ada sahabat, tetapi dia tak sayang saya”

“Saya dah hargai dia, tapi dia tak pernah pun hargai saya”

Sebenarnya, hidup ni tak seindah teori. Tidak juga macam drama-drama atau kisah indah di dalam novel. Walaupun sebenarnya, teori itu tidak mustahil direalitikan, dan kisah indah di dalam novel dan drama tak mustahil dibumikan.

Namun kita berhadapan dengan manusia. Manusia ada pelbagai ragam. Apa-apa sahaja boleh terjadi. Justeru, dari mengharap sesuatu yang tidak pasti, lebih baik mempersiapkan diri untuk berhadapan dengan pahitnya realiti.

Jadilah sahabat kepada orang lain, dan jangan sesekali kita tuntut orang lain menjadi sahabat kita.


Berhadapan realiti

Kita sukakan kehangatan ukhwah. Kita suka baca kisah dua sahabat yang kukuh ukhwahnya. Kita juga suka mereka cerita akan dua sahabat yang berpanjangan kasih sayangnya. Saling cinta mencintai, lengkap melengkapi.

Jangan salahkan cerita-cerita itu. Pada saya, cerita-cerita sedemikian perlu wujud dalam hidup kita.

Kita sepatutnya merealitikan cerita-cerita itu dalam kehidupan kita. Cuma realiti hari ini, perkara sedemikian hampir tiada.

Kenapa?

Kerana bukan semua orang yang faham berkenaan ukhwah. Ya, kita sayang sahabat kita. Tetapi, apakah sahabat kita itu faham makna ukhwah macam kita faham?

Kalau kita faham bahawa ukhwah tertinggi adalah itsar(melebihkan sahabat daripada diri sendiri) dan ukhwah terendah adalah berlapang dada, apakah sahabat kita faham perkara yang sama?

Kalau sahabat kita faham, apakah dia kuat untuk menggerakkan kefahamannya di dalam amalan?

Itu sebenarnya, cabaran kita sebagai manusia yang hidup di alam realiti, bukan di dalam novel dan drama.


Jangan lepaskan teori itu
Namun ini tidak bermakna, saya menyuruh anda melepaskan ukhwah anda. Cuma saya hendak membawa anda melihat satu sisi baru.

Dari kita mendambakan balasan sahabat kita, saya senang agar kita melupakan balasan daripada sahabat kita. Ya, jangan harapkan daripada sahabat kita apa-apa.

Dengan ini, anda tidak melepaskan teori-teori ukhwah.

Hakikatnya, teori ukhwah bukan terletak kepada dua hala. Kau bagi, dia balas. Dia baik, kau baik. Tidak. Sebenarnya, teori ukhwah tersimpan dalam satu individu tanpa menuntut individu lain membalasnya.

Ukhwah dibina atas dasar keimanan. Dan dari keimanan berbuahnya keikhlasan.

Keikhlasan ini membuatkan kita bergerak mengasihi sahabat kita tanpa mendambakan balasan apa-apa.

Jangan lepaskan teori ukhwah. Anda adalah manusia yang bertanggungjawab membumikannya.Anda. Cakap perkara ini dalam diri anda. Jangan tuding perkara ini pada sahabat anda.

Susah
Memang susah. Siapa cakap senang, bohong lah. Tapi inilah dia ukhwah.

Tahu apa yang membuatkan ukhwah itu indah?

Pengorbanan. Tanpa pengorbanan, kita tidak namakan hubungan itu satu ukhwah.

Ya, kita perlu korbankan masa kita untuk sahabat kita. Kita korbankan ruang jiwa kita untuk sahabat kita. Kita korbankan harta kita untuk sahabat kita. Kita korban apa sahaja. Semuanya untuk ukhwah kita.

Itu yang membina ukhwah. Dan pengorbanan kita mestilah berdiri atas keimanan dan keikhlasan, tidak terkeluar dari batas dua perkara itu.

Namun pengorbanan, inilah yang membuatkan manusia sukar merealitikan ukhwah. Berkorban tanpa mendapat apa-apa balasan?

Mesti ada yang berfikir 10 kali akan perkara itu.

Namun siapakah anda untuk mengubah hati orang lain agar mengira kasih sayang anda kepadanya?


Allah jugalah yang membolak balikkan hati
Sebab itu, kita dirikan hubungan kita atas matlamat hendakkan keredhaan Allah SWT. Saya sendiri, tidak akan membina ukhwah dengan orang sekiranya Allah tak suruh. Jadi, kita bina semua ini adalah kerana Allah SWT.

Allah SWT, Dialah yang memberi hidayah. Dialah yang membolak balikkan hati. Kita bina hubungan kita dengan ikhlas, kita harapkan nanti Allah SWT akan bantu lembutkan hati sahabat kita, dan buatkan kita dengan sahabat kita hidup dalam kasih sayang yang hangat.

Namun yang penting, dalam ukhwah ini, kita yang perlu memberi.

Saya suka akan kata-kata seorang ulama’ di Jordan. Saya selalu ulang.

“Hubungan kamu dengan sahabat kamu, adalah tanggungjawab kamu kepada Allah SWT. Kamu tidak mengharapkan balasan daripada sahabat kamu atas kebaikan kamu. Tetapi kamu mengharapkan balasan Allah SWT atas kebaikan kamu. Hubungan sahabat kamu terhadap kamu pula, itu adalah tanggungjawab dia kepada Allah SWT”

Jadi, sebenarnya, untuk kita mendapat timbal balik atas kasih sayang kita kepada sahabat kita, hendaklah kita bergerak membawa dia memahami atas dasar apa ukhwah ini dibina. Kalau dia juga faham bahawa hubungan dia dengan kita, adalah tanggungjawab dia kepada Allah, pastinya dia akan bergerak untuk tidak mensia-siakan kita.

Namun, sahabat kita bukan matlamat kita. Kalau kita kecilkan skop ukhwah ini hanya kepada dua tiga orang di sekeliling kita, maka rugilah kita. Rendahlah ukhwah ini sebenarnya.

Apakah matlamat besar ukhwah?

Matlamat besar ukhwah, adalah untuk manusia-manusia yang beriman kepada Allah SWT duduk di bawah satu bumbung, bergerak dengan satu barisan yang tersusun. Kasih mengasihi kerana Allah, lengkap melengkapi dalam kerja-kerja menyebarkan agama-Nya, mengelak perpecahan agar musuh tidak mampu mengambil peluang daripadanya.

Kenapa kena faham ukhwah?

Kerana itulah.


Penutup: Jadikanlah diri sahabat kita sebagai sahabat kita. Diri kita, nanti dahulu
Saya tengok satu drama. Watak di dalam drama itu berkata:

“The one who demand gentleness from his friends, is not gentle”

Maka jadilah sahabat yang sebenarnya kepada sahabat kita. Jangan kita ungkit kebaikan kita kepadanya. Lalui hidup ini dengan tabah, dan ikhlaskan niat sentiasa kepada Allah SWT. Allah SWT jugalah sebaik-baik pemberi balasan.

Alangkan sebesar zarah pun Allah kira, apatah lagi kebaikan yang kita lakukan kepada sahabat kita.

Jangan sesekali kita hendakkan dia membalas kebaikan kita. Hati manusia bukan macam plastisin. Kita ketuk terus berubah. Alangkan Umar Al-Khattab pun, bukannya kenal Rasulullah terus beriman. Hati manusia perlukan proses yang berpanjangan dan berterusan.

Jangan putus asa dengan persahabatan anda, kasih sayang anda, yang anda rasa tidak berbalas sehingga hari ini.

Ingat lah bahawa, sekarang ini, dia adalah sahabat anda. Tetapi anda mungkin belum menjadi sahabatnya sekarang.

Saya lalui juga perkara ini sebenarnya. Sahabat yang saya sayang, tak hubungi saya pun. Saya, kalau tiga hari tak hubungi dia dah rasa macam sesuatu yang tak kena. Tapi sahabat saya, tak kisah pun. Tunggu saya hubungi baru nak hubungi saya.

Tapi yang selalu saya kata pada diri saya, adalah apa yang saya katakan pada anda sekarang.

Jadikanlah sahabat kita sebagai sahabat kita. Diri kita pada dia, nantilah dulu. Biarlah kita berkorban, dan biarkanlah dia yang masih tidak mampu memahami semua ini. Jangan kita demand apa-apa.

Yang penting, kita dirikan persahabatan kita, hanya untuk mendapat redha Allah SWT, dan memperkuatkan ummah ini. Maka, apa lagi? Ikhlaskan niat, bergeraklah mencapai keredhaan-Nya, dalam persahabatan anda. InsyaAllah, manusia yang ikhlas bersahabat, akan dinaungi Allah pada hari tiada naungan melainkan naungan-Nya.


p/s: Artikel yang amat menarik untuk dikongsi, nowdays ramai sangat manusia yang digelar sebagai sahabat or else yang boleh dianggap kawan melupai apakah erti ukhwah sebenar atau lebih gemar disebut UKHWAHFILLAH... tepuk dada tanya iman...

2 comments:

shaniza

Salam..

Suara si pungguk mendayu-dayu
Memuja bulan tak pernah jemu
Biar di dunia kuhimpun rindu
Di akhirat sana kupohon bertemu

Anak haruan mati terperangkap
Jangan keli dikatakan sepat
Padamu sahabat daku berharap
Di sudut hatimu namaku terpahat

Yang merah itu dikatakan saga
Yang indah itu dikatakan bahasa
Bagaimana akhirnya persahabatan kita?
Mampukah meruntun hingga ke Syurga?

Meleret senyum manis di bibirmu
Hilanglah duka terpancar rindu
Ku ukir namamu di dasar qalbu
Ukhwah fillah menjadi dambaku

Merenung langit di kala senja
Mengharap fajar akan menjelma
Padamu Tuhan kupanjatkan doa
Persahabatan ini subur selamanya

'Hurun-Ein'

Meleret senyum manis di bibirmu
Hilanglah duka terpancar rindu
Ku ukir namamu di dasar qalbu
Ukhwah fillah menjadi dambaku...

YaAllah... JazakaAllah, tokcik yg disyngi...semoga sentiasa dirahmatiNya, InsyaAllah =]