~~~~~~~~~~~~

|| Bicara Hati ||

Sesungguhnya aku bukanlah segigih SITI HAWA yang berlari-lari diantara safa dan marwa....
Bukan juga sesetia AINUL MARDHIAH menanti kekasih dipintu syurga....
Aku akui hakikat yang tersurat...
Aku bukanlah SITI KHADIJAH mahupun SITI FATIMAH..
Bukan juga AI'SYAH...Bukan juga RABI'TUL ADAWIYYAH wanita suci terpuji....
Kerana aku tidak layak mengharap semidikian rupa....
Cukupla sekadar hanya aku cuba mencontohi BUNGA-BUNGA itu yang kembang mekar mewangi sehingga harumannya melewati pintu-pintu syurga...

Wednesday, April 7, 2010

Solehah Itu Bukan Pada Labuhnya Tudung


~Dari emel untuk dikongsi bersama.... ~

Alhamdulillah. Minggu lalu saya sempat penuhi jemputan majlis kesyukuran seorang sahabat lama. Sahabat di zaman sekolah menengah dahulu. kira-kira hampir 8 tahun tidak bertemu. Kalau dahulu, kami dikatakan 'kembar' kerana ke manapun pergi, pasti berdua, makan bersama,ulangkaji pelajaran bersama, waktu rehat bersama, berbasikal ke sekolah bersama. sehinggalah tamat tingkatan lima masing-masing buat haluan sendiri sehingga lah minggu lalu kami bertemu dan dia bagai terkejut melihat saya.

"Eh Aini, lainnya awak sekarang. Solehahnya.." Dia bagai terkejut melihat penampilan saya bertudung labuh.

"Kalau macam ni seganlah Diana kat Aini"

"Kenapa pula?" Saya sengaja bertanya untuk menduga.

"Yelah, Aini sekarang dah bertudung labuh, mesti dah mantap ilmu agamanya, tak macam Diana ni ha, tudung kecik ni jugak." Katanya sambil tergelak kecil. Saya yang mendengar jawapan tulus dari hatinya turut tersenyum. Terasa bagai ingin sekali menyangkal anggapannya pada saya. Namun saya biarkan dahulu.

Tidak boleh tidak, kita tidak mampu menghalang pandangan orang sekeliling pada mereka bertudung labuh. Sangkaan orang, bertudung labuh itu pastinya seorang yang alim, baik tingkah laku dan akhlaknya, serta banyak ilmunya. Namun pada saya tidak. Kerana tidak cukup kita menilai seseorang pada labuhnya tudung yang dipakai walau secara tersiratnya, memakai tudung labuh adalah menuju kearah usaha menyempurnakan syariat agama dalam menutup aurat dengan sebaiknya. Namun, macam mana pula ada kes orang yang bertudung labuh tapi melakukan perkara yang kurang baik? Kerana itulah, solehahnya seseorang bukan lah pada labuhnya tudung.

Bukan sekadar menutup kepala,tapi menghijab hati.

Ramai orang kurang mengerti kenapa perlunya kita bertudung. Kerana 'kurang mengerti' itulah, maka sekarang timbulnya pelbagai fesyen tudung sehingga lari jauh dari garis panduan bertudung. Kerana hanya ingin kelihatan cantik dan bergaya, fesyen tudung yang ada kebanyakannya tidak menutup apa yang sepatutnya ditutup.

Ketika Allah menurunkan wahyu, Nabi saw sampaikan kepada hambaNya supaya semua muslimah menutup aurat, bertempiaran lari semuanya. Mencapai segala kain yang ada untuk menutup rambutnya. Mereka berkelakuan demikian bukan kerana cantiknya kain untuk menutup kepalanya saat itu, tetapi itu perintah Allah. Allah menjaga muslimah sebaiknya dari tercemar oleh pandangan lelaki yang kurang baik. Setiap suruhan Allah ada harganya. Oleh itu, mereka yang benar-benar faham akan hakikat ini, akan sedaya upaya memenuhi tuntutan dan mereka akan sedar bahawa memakai tudung bukanlah sekadar menutup kepala tapi sebagai penghijab hati. Memakai tudung, bukan sahaja membawa imej Islami tetapi menjaga diri. Kerana bila kita sedar bahawa kita muslimah yang bertudung yang cuba memenuhi suruhan Allah dengan rela hati demi mengapai redha Allah, kita akan dengan sendirinya menjaga prilaku kita seharian.

Persoalan yang timbul, bagaimana pula orang yang bertudung bahkan bertudung labuh boleh lakukan kemungkaran? Berzina,mencuri dan sebagainya? Pada hemat saya, mudah sahaja, dia tidak mengamalkan apa yang dia tahu malah dia hanya memakai tudng tetapi tidak menghijab hati daripada melakukan kemungkaran. Tidak terkecuali dia bertudung biasa atau bertudung labuh. Bahkan kalau selabuh manapun tudung yang dipakainya, tetapi masih tidak mampu menjaga diri daripada kemungkaran, tiada gunanya dia melabuhkan tudung.

Seiringkan dengan amal.

Masyarakat melihat mereka yang bertudung labuh itu, tinggi ilmunya, baik pekertinya. Inilah cabaran bila berhadapan dengan anggapan sebegitu. Tidak salah rasanya masyarakat beranggapan sebegitu,kerana bukan mudah untuk bertudung labuh. Sememangnya memerlukan kekuatan dan rasa istiqamah yang tinggi dan rasanya mereka faham bukan mudah untuk kekal bertudung labuh disaat fesyen tudung sekarang yang bermacam-macam gaya. Bukan senang menghalang diri dari terpengaruh dengan anasir luar yang membawa masuk fesyen yang pelbagai rupa. Namun, sekiranya itu anggapan masyarakat sekeliling, sahutlah cabaran itu sebaik mungkin. Seiringkan dengan pertambahan ilmu dan serlahkan dengan amal.

Andai boleh, saya ibaratkan tudung labuh seperti memakai uniform. Lihat seorang pegawai polis yang keluar berhadapan dengan masyarakat dengan memakai uniform polis. Dengan sendirinya dia cuba menjaga imej sebaik mungkin pada pandangan umum, kerana dia tahu dia seorang polis dan selayaknya dia beperkerti mulia dan menjaga tatasusila sebagai seorang pegawai polis. Namun mungkin sedikit berbeza seandainya pegawai polis tersebut keluar berhadapan dengan orang ramai dengan berpakaian biasa. Pasti tindakannya pun berbeza kerana dia tidak lagi menjadi tmpuan orang kerana dia menanggalkan identitinya iaitu uniform polis. Begitu juga muslimah yang bertudng labuh, dia membawa identitinya sebagai seorang yang berkomitmen dengan agama. Orang sekitar menganggapnya seorang yang tahu hukum dan batasan syariat. Sedikit tersilap langkah pasti tercalar imejnya yang bertudung labuh. Oleh kerana itulah muslimah yang bertudung perlu tahu hakikat dia bertudung. Bukan sahaja membawa imej sendiri malah dia turut membawa imej Islam.

 
Tudung biasa pun tidak mengapa..asalkan....
Atas dasar mencari redha Allah, saya tidak sama sekali berpendapat mengatakan untuk menjadi solehah perlu bertudung labuh. Sebelum kita fikir selabuh mana tudung yang harus kita pakai, ada persoalan yang lebih utama perlu kita pertimbangkan iaitu kenapa perlunya kita memakai tudung. Sekiranya kita memakai kerana itu suruhan Allah dan berusaha memenuhi demi redha Allah, kita sendiri akan tergerak hati untuk memakainya dengan cara yang lebih sempurna. Namun, andai sebaliknya, iaitu menutup kepala hanya sekadar tuntutan fesyen, sudah pastinya kita akan terpengaruh dengan pelbagai gaya tudung terkini yang kurang menepati syariat.

Ukuran solehah mungkin berbeza pada setiap orang, namun bagi saya solehahnya seorang muslimah itu terletak pada keupayaannya memenuhi perintah Allah dan menjauhi setiap larangan Allah serta mengamalkan segala ilmu yang diperolehinya. Tudung biasa selain tudung labuh tiada salahnya selagi memakainya dengan sempurna.Oleh kerana itulah, solehahnya seseorang itu bukan pada labuhnya tudung tetapi perlu diingat bahawa menutup kepala dengan sempurna mengikut syariat Allah adalah salah satu bukti kesetiaan kita sebagai hamba untuk melakukan yang terbaik kerana Allah. Bukannya mengikut keinginan semata-mata.
Saya tinggalkan peringatan dari makna kalimah suci Allah dan hadist Nabi SAW untuk diri sendiri dan semua muslimah.

"Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu’min: “Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka”. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha pengampun lagi Maha penyayang”.[al-Ahzab:59]

Imam Muslim menuturkan sebuah riwayat, bahwasanya Rasulullah saw bersabda;

“Ada dua golongan manusia yang menjadi penghuni neraka, yang sebelumnya aku tidak pernah melihatnya; yakni, sekelompok orang yang memiliki cambuk seperti ekor sapi yang digunakan untuk menyakiti umat manusia; dan wanita yang membuka auratnya dan berpakaian tipis merangsang berlenggak-lenggok dan berlagak, kepalanya digelung seperti punuk onta. Mereka tidak akan dapat masuk surga dan mencium baunya. Padahal, bau surga dapat tercium dari jarak sekian-sekian.”[HR. Imam Muslim].
Wallahu'alam.

2 comments:

shaniza

Salam..
Sangat setuju dengan entry kali ni..
Paderi kristian pun pakai 'tudung' tp tak beriman. Jadi kalau tak beriman, tudung sampai tumit pun tak guna...Allah nilai amal yg ikhlas saja.

Zul Ikhwan Zahari

saya setuju. tetapi bukankah Islam menyarankan supaya kaum muslimah melabuhkan tudungnya? saya bimbang hujah ini akan disalahfaham oleh sesetengah orang. Nauzubillah...